KUALA LUMPUR, 26 Mei – Tipu…..Kes penipuan Love scam melalui media sosial yang sebahagian besar didalangi oleh warga Afrika , ialah kes jenayah siber kedua tertinggi dilaporkan di Malaysia tahun lepas dengan 2,498 kes melibatkan kerugian RM98.98 juta.

Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,  DSP Yeap Yoke Peng berkata: “kebanyakan mangsa yang diperdayakan oleh sindiket itu ialah golongan profesional seperti doktor dan guru.’

Yeap yang membentangkan kertas kerja mengenai “Jenayah Siber di Malaysia: Trend, Cabaran dan Inisiatif masa depan” pada Persidangan Keselamatan IT ASEAN 2017, berkata polis menerima laporan mengenai 12,175  kes jenayah siber dengan jumlah kerugian RM230,264,128 juta.

Kes jenayah siber tertinggi dilaporkan di Malaysia tahun lepas ialah penipuan e-dagang dengan sejumlah 6,151 kes melibatkan kerugian RM29,967,149 juta membabitkan jualan , pembelian dan pelaburan dalam talian,  kata beliau pada seminar sehari itu bertemakan “Security in a Hyper-Connected World” anjuran Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) Malaysia.

Yeap berkata penipuan telekomunikasi melalui SMS, telefon, el-mel mengenai pemberitahuan kononnya memenangi hadiah merupakan jenayah siber ketiga tertinggi dengan 1,898 kes dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah  RM52.98 juta.

‘Dalam sesetengah penipuan telekomunikasi, ada kes mangsa menerima panggilan dari individu yang menyamar sebagai polis, pegawai kastam dan pegawai bank yang mengakibatkan mereka kerugian sejumlah besar wang.

Yeap berkata kes lain yang dilaporkan ialah penipuan e-kewangan melalui malware dan spam dengan 1,040 kes dilaporkan melibatlan kerugian sehingga RM48,33 juta, diikuti oleh penyalahgunaan rangkaian dengan 207 kes (RM1,400) dan akhir sekali harta intelek seperti pelanggaran hak cipta dengan 381 kes tetapi tiada jumlah kerugian yang terkumpul.

Beliau berkata peningkatan kes jenayah siber di Malaysia kebanyakan disebabkan kurannya kesedaran di kalangan pengguna media sosial mengenai keselamatan siber dan sensitiviti, dan akibat kelemahan ini, ia menyebabkan kegiatan penjenayah siber berleluasa. – WD MY