JOHOR BAHRU, 13 Julai – Kerjasama…… Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) sudah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kehilangan peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit di Pelabuhan Tanjung Pelepas, baru-baru ini.

Pengurus Besar LPJ Muhammad Razif Ahmad berkata pihaknya berharap hasil siasatan itu kelak diumumkan.

“Kami mohon pihak yang menjalankan siasatan supaya memberitahu isunya.. .kalau tiada isu pun kena sebut jugalah tiada isunya kerana kita tidak mahu perkara ini tergantung,” katanya kepada media pada majlis sambutan Aidilfitri LPJ, di sini hari ini, Turut hadir Pengerusi LPJ Datuk Abdul Rahim Ramli.

Muhammad Razif sekali lagi menegaskan bahawa kontena mengandungi peralatan berkenaan sebenarnya tidak hilang malah selamat sampai ke destinasi ditetapkan.

Beliau bagaimanapun berkata kejadian berkenaan sememangnya menjadi pengajaran kepada semua pihak berkaitan.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan ruang untuk memperbaiki Prosedur Operasi Standard (SOP) pelabuhan berkenaan.

Kontena memuatkan radar terbabit didakwa ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sementara menunggu dokumen diperlukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JKDM, Datuk T. Subromaniam menafikan kontena berisi radar terbabit hilang, sebaliknya menegaskan peralatan itu sudah sampai di Belanda melalui Pelabuhan Rotterdam. – WD MY