KUALA LUMPUR, 9 Sept – Alami Gangguan… Perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan elektrik menyebabkan pengguna terpaksa menunggu sehingga sejam pada awal pagi tadi.

Gangguan berlaku sebanyak dua kali bermula dari jam 7 pagi hingga 7.30 pagi dan 9.15 pagi hingga 10.15 pagi sebelum keadaan kembali normal dan pengguna dapat meneruskan perjalanan seperti biasa.

Jurucakap Rapid Rail berkata gangguan elektrik itu berlaku membabitkan laluan tren Gombak-Putra Heights menyebabkan pengguna terpaksa menunggu sehingga sejam sebelum dibaik pulih.

“Gangguan berlaku sebanyak dua kali namun sistem elektrik sudah dibaikpulih bermula jam 10.15 pagi tadi.

“Kami mohon maaf di atas gangguan berkenaan dan siasatan masih dilakukan mengenai punca gangguan elektrik,” katanya ketika dihubungi WartaDaily.

Gangguan sama turut berlaku pada 6.30 pagi kelmarin menyebabkan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam itu dari Stesen Glenmarie dan Setiawangsa terpaksa menunggu hampir enam jam sebelum keasaan pulih sepenuhnya pada 1.15 tengah hari kemudian.

Jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat andaian punca masalah gangguan elektrik berkenaan.

“Kita masih tidak boleh mengaitkan hujan dengan masalah teknikal dihadapi,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY