KUALA LUMPUR, 29 Mac – Tawarkan…. Pihak Kerajaan hari ini mengumumkan 45 peratus atau RM4.05 bilion daripada RM9 bilion nilai kontrak Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) akan dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera menerusi inisiatif ‘Carve Out and Compete’ kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata kesemua syarikat Bumiputera yang berkelayakan untuk projek mega itu harus bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan kontrak projek berkenaan dan akan dianugerahkan berlandaskan merit.

Katanya, inisiatif ‘Carve Out and Compete’ itu terbukti merekodkan pencapaian yang amat memberangsangkan dan terbukti meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai projek mega.

“Sebagai contoh, jumlah keseluruhan projek untuk syarikat Bumiputera di bawah projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan satu dan dua adalah melebihi 45 peratus atau kira-kira RM22.4 bilion.

“Manakala projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM8 bilion atau 53 peratus daripada nilai keseluruhan projek kepada syarikat Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera ke-3 di Bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi.

Najib berkata, jumlah keseluruhan pakej yang dirancangkan dengan terperinci daripada kerja sivil dan sistem termasuk jejambat dan bangunan parkir membabitkan sembilan pakej, laluan terowong bawah tanah sebanyak satu pakej, depot kereta (dua pakej), depot bas (tiga pakej) dan pembekalan bahan binaan.

“Saya difahamkan inisiatif ‘Carve Out and Compete’ ini telah berjaya mencipta nilai keseluruhan berjumlah RM50.8 bilion menerusi pelbagai projek mega yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Najib menyaksikan penyerahan cek RM5 juta daripada Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) kepada Dana Pendidikan Wakil Peniaga Bumiputera (BDREF).

Cek itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti mewakili Ahli Lembaga Pemegang Amanah CMDF, Datuk Fairuz Zainol Abidin kepada Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) mewakili Ahli Lembaga Pemegang Amanah BDREF, Md Hasrin Md Hassim.

Penyerahan cek itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh. – WD MY