KUALA LUMPUR, 23 Feb – Pelumba pecut Itali Andrea Guardini
daripada pasukan Astana dijangka menghadapi saingan sengit daripada 14 pelumba
pecut lain pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015.

“Guardini memang kelihatan cukup bersedia bagi menghadapi permulaan musim
ini. Tetapi, dia akan menghadapi cabaran getir daripada pelumba hebat lain
terutama pelumba muda.

“Caleb Ewan dari Australia dan pelumba Itali, Jakub Marecko. Mereka ini
bukan sahaja pantas, tetapi pasukan mereka — Orica-GreenEdge dan Southeast Pro
Cycling telah membina keunggulan melalui latihan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif
LTdL Datuk Malik Mydin dalam kenyataan hari ini.

Selain Guardini, pelumba pecut yang akan bersaing pada perlumbaan dari 8
hingga 15 Mac itu, ialah Alessandro Petacchi (Southeast Pro Cycling), Yauheni
Hutarovitch (Bretagne-Seche Environnement), Chris Sutton (Sky), Adam Blythe
(Orica-GreenEdge), Leonardo Duque (Team Colombia), Ahmet Orken dan Michal Kolar
(Tinkoff-Saxo).

Pelumba pecut lain yang akan turut beraksi pada LTdL edisi ke-20 itu ialah
Marco Benfatto (Androni-Venezuela), Paolo Simion (Bardiani CSF), Ken Hanson
(Unitedhealthcare), Youcef Reguigui (MTN-Qhubeka), Park Sung Baek (KSPO) dan
Mohd Hariff Salleh (TSG).

Guardini meraih jersi biru pada LTdL edisi 2011 dan 2012, manakala pelumba
Terengganu, Anuar Manan muncul sebagai pelumba Asia pertama memenangi jersi itu
pada 2010 ketika bersama pasukan Korea Selatan, Geumsan Ginseng.

Sementara itu, Malik mengucapkan terima kasih kepada Maju Group yang pertama
kali menaja jersi biru untuk juara pecut bagi LTdL edisi ke-20 itu.

Maju Group adalah antara konglomerat terbesar dan paling kukuh di Malaysia,
yang diterajui pengerusi eksekutif kumpulannya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

“Kami amat bertuah apabila Maju Group menyertai keluarga LTdL dan
sesungguhnya, sumbangan mereka akan menjamin kejayan perlumbaan ini, dengan Maju
Group menjadi penaja jersi biru,” katanya.

Dianjurkan Human Voyage Sdn Bhd, LTdL edisi ke-20 akan meliputi jarak lebih
1,000km dan mengandungi lapan peringkat, dengan perlumbaan UCI 2HC
(kategori hors) sekali lagi merupakan antara acara terbesar dalam
kalender UCI Asia Tour.- Ally Samsudin (WD MY)

LEAVE A REPLY