SEREMBAN, 7 Jan – Pengusaha judi dalam talian haram di sekitar bandar ini, dikesan beroperasi dengan berselindungkan perniagaan kafe.

Daripada pandangan luaran, premis terbabit langsung tidak menggambarkan aktiviti judi dalam talian, sebaliknya saling tidak tumpah seperti kafe biasa.

Bagaimanapun, Ops Dadu yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mulai jam 2 petang semalam hingga 5 pagi tadi, berjaya membongkar taktik terbaharu pengusaha judi terbabit.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Norazman Mohd Yusof, operasi itu membabitkan lapan pegawai dan 22 anggota yang memeriksa 59 premis perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, 50 daripada premis terbabit ditutup ketika pasukan itu tiba menyebabkan hanya sembilan premis dapat dimasuki dan diperiksa.

“Polis mendapati semua sembilan premis terbabit, termasuk yang dari luaran kelihatan seperti kafe langsung tidak mempunyai lesen perniagaan.

“Polis juga percaya aktiviti judi dalam talian haram dijalankan di situ berdasarkan penemuan laptop yang memuatkan permainan itu,” katanya ditemui ketika operasi itu, pagi ini.

Norazman berkata, seramai 11 orang yang dipercayai penjaga premis dan lima pemain judi ditahan dalam operasi itu, iaitu mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Selain itu, katanya, 16 mesin simulator, 14 laptop dan wang tunai sebanyak RM2,067 dirampas dalam operasi itu.

Beliau berkata, polis juga mengeluarkan saman terhadap pengusaha sembilan premis terbabit kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penyelewengan dilakukan oleh pengusaha perniagaan terbabit seperti tiada lesen dan menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY