KUALA LUMPUR, 18 Mac – Tanding…… Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia, (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas membayangkan untuk bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti dan kawasan yang dipilihnya ialah Cameron Highlands yang merupakan tempat asalnya.
Bagaimanapun beliau berkata beliau akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada MyPPP atau parti komponen BN lain yang akan diberi peluang untuk bertanding di kawasan berkenaan.

“Cameron Highlands bukan merupakan kerusi selamat, jadi saya akan pergi ke sana untuk menyelamatkannya,” katanya.

 

Kayveas berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi myPPP di Wisma MyPPP di sini hari ini.

Beliau turut melaungkan kesediaan untuk menyahut cabaran calon lain dalam pertandingan sihat tanpa menjejaskan strategi BN memenangi kawasan tersebut.
Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini dipegang bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU ke-13. – WD MY