SERDANG, 11 Dis – Majlis Penutup….Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke majlis penutup MAHA 2016 di sini hari ini.

Ketibaan Ahmad Zahid disambut Menteri Pertanian Dan Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shaberry Cheek.

Ahmad Zahid meluangkan masa melawat booth dan pavillion yang diadakan semenjak 1 Disember yang berakhir pada hari ini.

Pengunjung yang hadir ke MAHA 2016 setakat pukul 11 pagi tadi telah mencecah 3.5 juta.

Ahmad Zahid menjangkakan hampir 4 juta pengunjung menjelang malam ni.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata Malaysia dijangka mampu memenuhi permintaan tempatan dan tidak perlu mengimport makanan menjelang tahun 2050.

Malaysia diyakini berupaya memenuhi permintaan pasaran eksport dalam tempoh 34 tahun akan datang, iaitu ketika Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi kenyataan.

“Pada waktu itu, negara dijangka mempunyai kira-kira 50 juta penduduk dan diharap tidak perlu lagi mengimport makanan, malah bahan makanan di seluruh negara boleh memenuhi keperluan tempatan.

“Ia juga boleh dieksport dengan kualiti dan teknologi dihasilkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensinya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang dijadikan tapak MAHA setiap dua tahun, perlu dijadikan lokasi asas untuk mempromosikan sektor agropelancongan di negara ini.

“Saya harap kementerian akan menjadikan tapak MAHA ini sebagai lokasi asas agro-pelancongan bagi mempromosikan produk serta menggamit kedatangan pelancong luar.

“Saya tawarkan diri sebagai pengerusi penyelaras mempromosikan MAEPS bagi menjadikannya tapak yang terus hidup, bukan hanya dua tahun sekali,” katanya. – WD MY