IPOH, DISEMBER 24: KASUT HITAM…  Terdapat rungutan segelintir ibu bapa mengenai harga kasut sekolah berwarna hitam dijual mahal walaupun pemakaiannya dikatakan akan dikuatkuasa  bermula 2020.

Tinjauan dibeberapa pasar raya dan kedai kasut di negeri ini mendapati harga kasut sekolah berwarna hitam dijual sedikit mahal berbanding kasut  berwarna putih.

Namun sebaliknya harga kasut putih pula dijual lebih  murah dan terdapat beberapa jenama kasut sekolah terkenal melakukan jualan harga runtuh di mana semua kasut putih dijual RM20 sepasang.

Menurut salah seorang jurujual di pasar raya berkenaan memaklumkan jualan  itu bertujuan untuk menghabiskan stok kasut putih sebelum kasut berwarna hitam digunakan di sekolah sepenuhnya pada 2020 nanti.

“Semua kasut sekolah  warna putih dijual sepasang RM20 sahaja bang, murah belilah kami nak habiskan stok, tahun depan last pakai kasut putih,” katanya ketika menyapa wartawan yang sedang membelek kasut sekolah.

Semasa tinjauan wartawan Sinar Harian turut terdengar keluhan ibu bapa yang membeli kasut berwarna hitam buat anak-anak mereka yang menjadi pengawas sekolah bahawa harga kasut lebih mahal dari tahun sebelumnya dan menyebabkan perbelanjaan mereka melebihi daripada apa yang dirancang.

“Mahalnya kasut hitam nak beli untuk anak pakai sebab pengawas, kalau macam ini tak dapat la beli dua pasang, sepasang sahaja la gayanya,” keluh pelanggan yang ada di pasar raya berkenaan.

Apa yang mengejutkan harga kasut sekolah berwarna  hitam jenis kain dijual antara RM30-RM50 sepasang mengikut saiz bagi termasuk jenama yang kurang popular dan kurang berkualiti.

Malah terdapat sepasang kasut sekolah berwarna hitam  untuk pelajar sekolah rendah dijual pada harga RM40 sepasang.