KUALA LUMPUR, 16 APRIL – ALU-ALUKAN….. Sekumpulan mahasiswa hari ini berkata mereka mengalu-alukan sekiranya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia hadir dalam sebuah forum bagi membincangkan isu mengenai Statut Rom pada 27 April ini.

Menurut jurucakap mahasiswa berkenaan, Asheeq Ali, forum tersebut diadakan bagi membincangkan isu mengenai statut berkenaan.

“TMJ? TMJ sendiri keliru dan jika dia mahu datang saya gembira dan mengalu-alukan untuk datang ke forum ini,” katanya kepada media di Dataran UM, hari ini.

Asheeq berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada pihaknya ada mengundang mana-mana kerabat diraja menyertai forum tersebut.

Menurut Asheeq, forum bertajuk ‘Malaysia dan Statut Rom’ itu akan diadakan di Auditorium Tun Suffian, UM bermula jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang.

Antara barisan ahli panel yang diundang ialah Peguam Negara, Tommy Thomas; Pakar perlembagaan Prof Dr Shad Saleem Faruqi, Jurucakap Kumpulan G25, Noor Farida Ariffin; peguam,  Lim Wei Jiet dan Asheeq sendiri.

Setakat ini, kata Asheeq, Tommy telah mengesahkan kehadirannya dalam forum berkenaan.

Untuk rekod, kumpulan mahasiswa berkenaan sebelum ini mencuri tumpuan apabila membocorkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat pensyarah yang didakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom.

“Setelah kami membocorkan kertas tersebut kepada rakyat pada 7 April 2019, banyak spekulasi yang timbul yang melibatkan semua pihak, terutamanya peguam negara, Tommy Thomas, Prof Shad Saleem Faruqi dan kempat-empat penulis rumusan eksekutif tersebut.

“Namun, sehingga kini, tiada sebarang respon atau kenyataan daripada penulis rumusan eksekutif tersebut mahupun daripada peguam negara sendiri.

“Justeru, kami merasakan ada keperluan yang sangat penting untuk kesemua yang terlibat dalam pembentangan Statut Rom kepada Majlis Raja-raja ini bersemuka dengan rakyat,” kata Asheeq.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bukan kerana statut itu membahayakan negara tetapi disebabkan kekeliruan oleh “orang tertentu yang ingin bebas memukul orang.”

Statut berkenaan dikritik beberapa pihak, terutamanya Tunku Ismail yang mengatakan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan serta bakal memberi kesan terhadap institusi beraja, hak-hak Melayu dan kesucian Islam di Malaysia. – WD MY