SUNGAI PETANI, 23 Sept – SARAN…… Mahasiswi disarankan lebih cenderung memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pengkhususan akademik dan kerjaya.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga menasihatkan mereka supaya mempelbagaikan set kemahiran agar mampu terus kekal berdaya saing.

Walaupun STEM diiktiraf teras utama pembangunan negara, amat membimbangkan apabila Laporan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi: Menjelang 2020 mendapati peratusan pelajar cenderung kepada bidang itu semakin menurun setiap tahun.

Katanya, kerajaan menyasarkan jumlah pelajar yang mengambil bidang STEM daripada nisbah 20:80 kepada 60:40.

“Salah satu cabaran pembentukan sebuah negara maju pada abad ke-21 adalah penguasaan dalam bidang STEM.

“Menyedari peralihan dunia industri dalam bidang STEM, kita perlu bersiap siaga menyediakan sumber tenaga kerja dalam bidang ini supaya dapat memenuhi keperluan negara dalam masa 25 tahun akan datang.

“Justeru, perhatian yang serius dan komitmen yang jitu amat diperlukan untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Konvensyen Siswi Cinta Negara yang disertai hampir 1,500 mahasiswi dan wanita dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Kedah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosmah berkata, pelajar universiti juga perlu keluar daripada kepompong zon selesa dengan mempersiapkan diri dengan set kemahiran yang baharu.

Beliau berkata, cabaran Industri 4.0 menggariskan kepentingan elemen 4C, iaitu ‘Critical Thinking and Problem Solving’, ‘Communication’, ‘Collaboration’ dan ‘Creativity’.

Katanya, kemahiran itu perlu diasah dan dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan, baik dalam pembelajaran, kesukanan mahupun aktiviti sosial.

“Bagi memastikan siswi dan wanita muda kekal berdaya saing dalam apa juga industri yang diceburi, penguasaan teknologi terkini adalah satu kriteria penting yang tidak dapat dielakkan.

“Saya menyarankan siswi untuk berani berubah ke arah mengembangkan keupayaan mereka menggunakan teknologi digital kerana penguasaan ini dapat melonjakkan kemajuan kendiri dan kerjaya mereka kelak,” katanya.  – WD MY