PUTRAJAYA, 6 NOV – PINDAAN…… Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan akan meminda undang-undang drakonian, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata, pindaan itu yang sudah lama tertangguh perlu dilakukan kerana dibimbangi akan disalah guna.

“Kita adakan mesyuarat untuk bincang keperluan pinda undang-undang drakonian. Kita tidak akan hapuskan undang-undang ini seluruhnya tapi pindaan kepada peruntukan tertentu yang mempunyai unsur drakonian.

“Ini termasuk tangkap dan simpan dalam tahanan tanpa didakwa. Dalam SOSMA umpamanya, kita akan lakukan (pindaan) secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, malam tadi.

Ditanya sama ada langkah ini mempunyai kaitan dengan tangkapan beberapa individu yang didakwa ada hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Perdana Menteri berkata, itu janji yang sudah lama dibuat PH.

Ditanya bila pindaan itu akan dilakukan, Perdana Menteri berkata, ia akan dilakukan secepat mungkin.

“Sekiranya boleh pada sesi Parlimen yang sedang berlangsung kini. Kalau tidak, mungkin pada sesi tahun depan,” katanya. – WD MY