SEPANG, 19 NOV – FAKTOR… Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan faktor ketidaktentuan dalam penetapan tarikh peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri menjadi punca kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, dalam situasi dan keadaan negara ketika ini, beliau sendiri belum tahu sama ada peralihan kuasa perlu berlaku sekarang atau tidak.

“Kita belum tahu lagi (dalam) keadaan negara sekarang ini, sama ada bersedia untuk mengalih pentadbiran (kepemimpinan) atau tidak, bila sampai masanya kita tentukanlah,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kekalahan PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai, antara lain disebabkan tiada tarikh jelas peralihan kuasa, seperti didakwa beberapa pihak.

Terdahulu, Dr Mahathir menyempurnakan Majlis Penutupan Rasmi dan Sesi Ucapan Khas sempena Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di sini.

Berhubung kenyataan beberapa pemimpin PH yang seolah-olah menyalahkan beliau susulan kekalahan di Tanjung Piai, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata: “Mungkin saya salah, mana saya boleh tahu.”

Pada PRK Parlimen Tanjung Piai Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Susulan keputusan PRK Tanjung Piai, bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali mendakwa ia adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Beberapa Ahli Parlimen PH turut dilaporkan mendesak perubahan dalam kepemimpinan pakatan itu.

Ia termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang dilaporkan berkata, Dr Mahathir harus mencontohi David Cameron, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2016, kerana gagal menghalang United Kingdom meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Semalam, Dr Mahathir berkata, PH akan membuat ‘bedah siasat’ yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan pada PRK Tanjung Piai.

Perdana Menteri berkata, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan. – WD MY