JOHOR BAHRU, 19 Sept – Arah Ambil Keterangan…. Pihak Mahkamah Majistret di sini, hari ini menolak permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menahan reman dua lelaki yang didakwa menghina Islam berkaitan kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Noor Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh peguam bela yang mewakili kedua-dua lelaki terbabit, Roger Chan Weng Keng ketika ditemui media di luar mahkamah di sini, petang tadi.

Beliau memaklumkan bahawa pihak mahkamah memberi alasan pihak polis boleh mengambil keterangan kedua-dua lelaki itu tanpa perlu menahan reman.

Sehubungan itu katanya, anak guam beliau dijangka akan dibebaskan hari ini selepas pihak polis merekodkan keterangan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu tiba di mahkamah berkenaan kira-kira jam 3 petang dengan diiringi polis.

Difahamkan polis menerima beberapa laporan mengenai kes berkenaan dengan laporan pertama dibuat di Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu sidang media pagi tadi, memaklumkan polis menahan tiga individu kerana memuat naik kenyataan di Facebook menghina Islam berkaitan kematian Haron.

Khalid berkata, dua daripada mereka ditahan di Shah Alam, Selangor, manakala seorang lagi di Ipoh, Perak awal pagi tadi. – WD MY

LEAVE A REPLY