KUALA LUMPUR, 20 Julai – Boleh Teruskan Pembinaan…. Projek pembinaan Lebuhraya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE) membabitkan pembinaan lebuh raya bertol yang dicadangkan menghubungkan Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana, kini boleh diteruskan.

Ia berikutan tiga pertubuhan alam sekitar yang mencabar keputusan kerajaan Selangor dan dua pihak lagi yang memberikan kebenaran, permit dan lesen bagi kerja pembinaan serta pembalakan untuk projek EKVE, menarik balik permohonan untuk menggantung kerja pembinaan projek itu.

Penolong Penasihat Undang-Undang Selangor, Naziah Mokhtar, berkata peguam M Karthini yang mewakili Persatuan Pencinta Alam Sekitar, Treat Every Environment Special Sdn Bhd dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menarik balik permohonan penggantungan kekal yang sepatutnya didengar mahkamah hari ini.

Naziah berkata, Karthini bagaimanapun tidak memberikan alasan mengapa pihak plaintif menarik balik permohonan penggantungan itu ketika prosiding pengurusan kes semakan kehakiman berkenaan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Katanya, Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetap?an 10 Oktober ini untuk terus mendengar permohonan semakan kehakiman terbabit.

Pada 24 Mei lalu, ketiga-tiga plaintif memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya berhubung kerja pembinaan projek EKVE.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah bahawa segala tindakan responden membabitkan projek lebuh raya itu yang merentasi Hutan Simpan Ampang digantung sementara.

Melalui permohonan kebenaran yang difailkan pada 11 April lalu, plaintif memohon membatalkan keputusan JPNS menutup Taman Rimba Ampang untuk memberi laluan kepada projek EKVE.

Mereka juga memohon perisytiharan kebenaran, permit, lesen atau lain-lain dokumen berkaitan yang diberikan ketiga-tiga responden untuk kerja pembinaan atau pembalakan berikutan projek lebuh raya itu, adalah batal tidak sah dan salah di sisi undang-undang. – WD MY

LEAVE A REPLY