KANGAR, 24 April – GUGUR…. Mahkamah Sesyen Kangar menggugurkan kes bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun Oktober lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mangsa yang tampil sebagai saksi kelima tidak mahu meneruskan perbicaraan dan meminta kes berkenaan diselesaikan cara baik antara kedua belah pihak, lapor Utusan Malaysia.

“Mangsa yang dipanggil sebagai saksi kelima meminta kes tidak diteruskan dan diselesaikan secara baik,” Timbalan Pendakwa Raya Syed Muhammad Anwar Syed Lokman dipetik sebagai berkata.

Shahidan yang juga bekas menteri besar Perlis didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja dalam sebuah kereta di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.

Dalam perbicaraan hari pertama semalam, saksi berpendapat sesuatu luar biasa berlaku apabila bapa remaja itu tiba-tiba mengajak pulang sebaik dimaklumkan sesuatu oleh ibunya selepas anak mereka keluar dari kereta Shahidan.

Saksi lain berkata dia melihat remaja itu berjalan agak laju semasa keluar dari kereta dan hampir menangis semasa menceritakan kejadian di dalam kenderaan itu.

“Dia cakap kat mak dia, dia dipegang di bahu dan tangan kiri oleh DSSK (gelaran untuk Datuk Seri Shahidan Kassim).

“Saya juga dengar bapanya cakap: Malam ni pi rumah DSSK pun tak apa.” Ini ayat-ayat marah setelah mendapat tahu kejadian pegang bahu anaknya itu daripada isteri beliau,” kata Adzleen Junaira Mohd Nasir. – WD MY