KUALA LUMPUR, 19 Okt – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kerajaan bercadang mewujudkan mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan jenayah alam sekitar terutama membabitkan pembakaran hutan secara terbuka.

Menurut beliau,pihaknya sedang mengkaji pelbagai aspek termasuk denda maksimum yang bakal dikenakan kepada pesalah alam sekitar.

“Kita mahu menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan saya dapat fakta daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga kini lebih 3,500 kes sudah diambil tindakan membabitkan pelbagai industri termasuk peladangan, pertanian, operator kilang dan individu.

“Kita mahu mahkamah ini ditubuhkan khusus untuk menangani masalah alam sekitar supaya kes ini boleh diketengahkan dengan cepat dan diambil tindakan supaya mereka yang terlibat merasai kesannya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Wan Junaidi berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi meneliti aspek perundangan bagi mewujudkan mahkamah itu.

Jelasnya hukuman sedia ada yang dikenakan terhadap industri yang menyebabkan kebakaran dan pencemaran udara masih tidak memadai berbanding dengan kesan yang ditanggung pelbagai pihak.

“Kita sedang mengkaji hukuman maksimum RM50,000 yang dikenakan kepada syarikat yang terlibat dalam pencemaran alam sekitar ini kerana ia masih tidak mencukupi,” katanya. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY