SHAH ALAM, 28 Julai – Tetapkan …… Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan selama 23 hari bermula 2 Oktober ini, bagi perbicaraan kes wanita warga Indonesia dan Vietnam yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Hakim, Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan kedua-dua pihak ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula, yang bermula kira-kira jam 9.40 pagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memaklumkan pihaknya akan memanggil seramai 30 hingga 40 saksi termasuk 10 saksi pakar bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

“Pihak kami juga ingin mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 107 Kanun Acara Jenayah, supaya kes dibicarakan bersama kerana membabitkan transaksi sama,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan supaya kes dibicarakan bersama.

Pada prosiding itu juga, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan hanya akan direkodkan pada hari pertama perbicaraan.

Pada 1 Mac lalu, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), jam 9 pagi, pada 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – WD MY