GEORGETOWN, 26 Julai – Tetapkan….. Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 14 November hadapan sebagai tarikh pengurusan dua kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas mengambil kira tarikh perbicaraan Guan Eng dan Li Koon untuk mencabar Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 7 Ogos hadapan.

Guan Eng diwakili peguam RSN Rayer manakala Li Khoon diwakili Datuk V Sithambaram.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak hadir pada sesi pengurusan kes hari ini.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Pada 21 Mac lalu, mahkamah memutuskan perbicaraan kes rasuah Guan Eng dan Li Koon ditangguhkan hingga rayuan mereka untuk mencabar Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah, selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

Seksyen 62 Akta SPRM 2009 menetapkan tertuduh perlu menyerahkan antara lain pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu. – WD MY