Mahkamah Tinggi India Larang Jualan Mercun Sempena Deepavali

0
48

NEW DELHI, 10 Okt – LARANGAN…… Sebuah Mahkamah Tinggi India mengarahkan satu larangan sementara ke atas jualan mercun di ibu kota ini hari ini, sebelum sambutan Deepavali yang mengakibatkan bandar raya itu diselubungi asap toksik.

Keputusan itu dibuat seminggu sebelum perayaan berkenaan apabila ibu kota ini dipenuhi asap berbahaya akibat mercun yang dibakar siang dan malam.

Permulaan musim sejuk biasanya memburukkan lagi situasi itu oleh kerana suhu lebih rendah memerangkap asap pencemar, diburukkan lagi dengan pembakaran tanaman di negeri bersebelahan.

Bertindak atas petisyen, Mahkamah Tinggi mengarahkan semua lesen menjual mercun di ibu kota ini dan bandar bersebelahan digantung sehingga 31 Oktober.

“Mahkamah menyatakan dengan jelas semua lesen diharamkan,” kata seorang daripada pempetisyen, Haripriya Padmanabhan.

Kualiti udara teruk India menyebabkan lebih sejuta kematian awal berlaku setiap tahun, menurut satu laporan bersama dua institut penyelidikan kesihatan berpusat di Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini.

Satu tinjauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2014 ke atas lebih 1,600 bandar menyenaraikan New Delhi sebagai paling tercemar.

Mahkamah berkenaan melaksanakan larangan sama November lalu apabila kualiti udaranya mencapai tahap ‘berbahaya’ selepas Deepavali, memaksa sekolah ditutup dan larangan sementara sektor pembinaan.

Namun arahan November lalu ditarik balik bulan lalu, membolehkan penduduk membeli mercun sebelum perayaan, jatuh 18 Oktober tahun ini.

“Saya rasa orang ramai tetap membakarnya. Justeru, ia bukan satu kejayaan 100 peratus,” kata Padmanabhan. – WD MY