KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan
The Edge Communications Sdn Bhd untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan
perintah penggantungan dua penerbitannya selama tiga bulan, oleh Menteri Dalam Negeri.

Bagi Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke yang mewakili Kementerian Dalam Negeri
memberitahu media bahawa hakim menolak permohonan itu atas alasan pihak penerbit
berkenaan tidak menunjukkan keadaan khas untuk penangguhan itu dibenarkan.

“Hakim memberi tiga sebab. Beliau berkata semakan itu boleh membawa kepada
pemberian ganti rugi; penerbitan itu tidak mewajarkan tuntutan bahawa larangan
itu akan mengakibatkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada mereka;
dan mereka tidak menunjukkan sebarang keadaan khas untuk penangguhan itu
dibenarkan,” katanya.

Pada 5 Ogos, The Edge Communications Sdn Bhd memperoleh kebenaran bagi
semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya, The Edge Weekly dan
The Edge Financial Daily, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, Hakim Asmabi menolak permohonan syarikat terbabit untuk
penangguhan sementara penggantungan kedua-dua penerbitan itu sehingga permohonan
inter-parte didengar.

Pada 27 Julai lepas syarikat penerbitan itu memfailkan permohonan semakan
kehakiman dengan menamakan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri sebagai
responden.

The Edge Communications Sdn Bhd memohon diberi kebenaran untuk memulakan
prosiding mengikut Aturan 53 Kaedah 3 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 bagi
mendapatkan perintah certiorari supaya mahkamah menolak keputusan Menteri Dalam
Negeri.

Syarikat penerbitan itu turut memohon suatu perintah interim untuk
penggantungan pelaksanaan keputusan sehingga penyelesaian pendengaran permohonan
dan kos.

Menteri Dalam Negeri dalam surat bertarikh 23 Julai lepas yang
ditandatangani oleh Hashimah Nik Jaafar bagi pihak menteri, telah memaklumkan
kepada syarikat itu penggantungan permit penerbitan kedua-dua penerbitan itu.

Berdasarkan surat yang dihantar kepada editor kanan pengurusan syarikat itu,
Ahmad Azam Mohd Aris, kementerian memaklumkan bahawa laporan mengenai 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) oleh The Edge adalah memudaratkan ketenteraman awam,
keselamatan dan kepentingan negara.

Ia juga menyatakan sekiranya gagal mematuhi arahan penggantungan, tindakan
pembatalan permit terhadap kedua-dua penerbitan itu akan diambil.

Mahkamah menetapkan 7 Sept untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu.

Sementara itu, The Edge Media Group berkata syarikat itu tidak akan merayu
terhadap keputusan mahkamah menolak permohonannya.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata sungguhpun berasa kecewa,
mereka menghormati keputusan mahkamah, dan akan memberi tumpuan dalam membuat
persiapan bagi pendengaran permohonan semakan kehakiman pada 7 Sept ini.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY