LONDON, 13 Dis – Piala…… Prestasi dinamik bintang Algeria, Riyad Mahrez ketika membantu Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu menobatkannya selaku pemenang anugerah Pemain Terbaik Afrika 2016, semalam.

Pemain berusia 25 tahun dan lahir di Perancis sebelum ini muncul pemain Afrika pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik Inggeris selepas cemerlang mencipta 17 gol dan 11 umpanan sepanjang musim lalu buat Leicester.

Dia menewaskan beberapa calon ternama lain seperti bintang Manchester City, Yaya Toure, Sadio Mane, Pierre-Emerick Aubameyang dan Andre Ayew.

Pemenang diundi oleh peminat di seluruh dunia.

“Ia amat bermakna. Ia sesuatu yang besar bagi pemain-pemain Afrika jadi saya amat gembira dan bangga,” katanya kepada media.

“Sentiasa menyenangkan untuk memenangi anugerah dan bagi Afrika, ia satu penghargaan yang besar,” kata Mahrez yang bapanya adalah rakyat Algeria dan ibunya berketurunan Maghribi dan Algeria.

Pengurus Leicester, Claudio Ranieri yang menghadiri majlis itu turut meluahkan kegembiraannya.

“Dia meningkat setiap hari,” kata pengendali kelahiran Itali itu. “Saya tidak bercakap mengenai kualitinya. Saya bercakap mengenai pengorbanannya. Dia berjuang untuk pasukan dan adalah amat penting untuk kami bersatu.”

Mahrez yang tiba ke King Stadium yang ketika itu dikendalikan Nigel Pearson dengan kos STG400,000 (RM2.23 juta) dari kelab Perancis, Le Havre pada 2014 menyertai senarai legenda yang pernah memenangi anugerah terbabit seperti Didier Drogba dan George Weah. – WD MY