Majis Datuk Persekutuan Malaysia Cadang Tarik Balik Darjah Kebesaran

0
321

KUALA LUMPUR, 29 Okt – TARIK BALIK….. Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) mencadangkan supaya anugerah dan darjah kebesaran yang diberikan kepada seseorang individu ditarik balik jika mereka terbabit dalam kes jenayah.

Presiden MDPM, Tan Sri Danny Ooi, berkata gelaran itu adalah satu penghormatan dan mereka sepatutnya tidak mencemari pengiktirafan itu dengan sesuatu yang memalukan.

“Seseorang yang dianugerah gelaran sepatutnya menghormati orang lain, termasuk pasukan beruniform yang sedang melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Tarik balik gelaran mana-mana individu tanpa mengambil kira status Tan Sri atau Datuk Seri,” katanya pada sidang media pada Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun Ke-15 MDPM di sini, malam ini.

Beliau mengulas insiden tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera selepas mendakwa dipukul seorang lelaki berstatus Datuk Seri ketika sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, Ampang, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Ooi berkata, perbuatan Datuk Seri berkenaan memberi layanan buruk kepada orang lain adalah tidak wajar.

“Individu berkenaan bukan ahli MPDM. Ahli majlis ini dianugerah Panglima Jasa Negara dan Panglima Setia Di-Raja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyokong pelaksanaan Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016 serta Akta Anugerah 2016 yang berkuat kuasa mulai Rabu lalu, bagi menangani kes penipuan membabitkan orang awam.

“Kami akan jumpa polis untuk berbincang langkah seterusnya selaras pindaan akta bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

“Dengan pindaan akta itu, diharapkan cadangan MDPM agar diwujudkan satu ‘hotline’ diterima bagi memudahkan masyarakat membuat aduan mengenai aktiviti penggunaan gelaran palsu atau yang tidak diiktiraf.

“Ini kerana orang ramai ada maklumat tetapi takut untuk melaporkan secara rasmi, jadi ‘hotline’ ini amat membantu mereka menyalur maklumat ,” katanya. – WD MY