KUALA LUMPUR, 16 Jan – Tubuhkan….. Persatuan Rohingya ASEAN (ARC) menubuhkan Majlis Muafakat Rohingya sebagai badan yang bertanggungjawab menyekat penularan fahaman ekstremis dalam kalangan masyarakat Rohingya di negara ini.

Pengarah Eksekutif ARC, Dr Helmi Ibrahim, berkata majlis ditadbir ARC itu juga bertindak menjaga kebajikan masyarakat Rohingya dan badan pelaksana terhadap sebarang keputusan yang dipersetujui gabungan pemimpin dalam majlis itu.

“Penubuhan majlis ini sebagai tanda sokongan terhadap kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menegaskan isu Rohingya perlu ditangani segera agar pengaruh ekstremis tidak menular ke wilayah Rakhine, Myanmar.

“ARC menyatakan kebimbangan terhadap perkara ini kerana pengaruh itu berpotensi menular ke dalam masyarakat Rohingya di negara ini sekiranya kebajikan mereka tidak terbela,” katanya.

Helmi berkata, majlis itu juga ditubuhkan memandangkan segala usaha mewujudkan kesatuan masyarakat Rohingya di negara ini gagal sejak beberapa tahun lalu.

“Majlis ini akan menjadi badan konsultatif kepada masyarakat Rohingya,” katanya.

Beliau berkata, ARC juga menyokong usaha kerajaan mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Januari ini di sini, selain berharap OIC akan mengisytiharkan 2017 sebagai Tahun Solidariti Antarabangsa Bersama Rohingya.

“ARC berharap Malaysia menjadi pencadang kepada deklarasi itu dan OIC akan menerimanya sebagai deklarasi OIC.

“Ini bertujuan menarik perhatian antarabangsa untuk merangka pelbagai inisiatif bagi membantu masyarakat Rohingya,” katanya. – WD MY