KUANTAN, 8 Feb – TOLAK…. Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berbincang mengenai rombakan Kabinet seperti yang tersebar di media sosial sejak minggu lalu.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata penyebaran berita mengenai perkara itu adalah tidak benar dan hanya khabar angin semata-mata.

“Tidak ada (rombakan Kabinet) dan Majlis Presiden PH pun tidak pernah berbincang mengenai perkara ini.

“Oleh itu, bagi saya ia sekadar khabar angin… setahu saya, perkara itu tidak ada dibincangkan oleh Majlis Presiden (PH),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Luar mengulas mengenai desas-desus kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan perubahan barisan Kabinet selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Khabar angin itu disebarkan sebuah blog dan laman portal mengenai rombakan Kabinet membabitkan pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Rabu lalu, Dr Mahathir ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di ibu negara turut menafikan perkara berkenaan dan menyatakan berita mengenai rombakan Kabinet itu adalah palsu. – WD MY