KUALA LUMPUR, JAN 7: LETAK JAWATAN..Keputusan Sultan Muhammad V melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 disifatkan sebagai kali pertama berlaku dalam sejarah pentadbiran Malaysia.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, susulan daripada peletakan jawatan itu, Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat bagi menentukan pengganti Yang di-Pertuan Agong.

“Meskipun umum mengetahui bahawa hierarki paling kanan dalam sistem penggiliran raja-raja terdiri daripada Sultan Pahang dan diikuti oleh Sultan Johor serta seterusnya Sultan Perak, namun keputusan pengganti Yang di-Pertuan Agong bakal ditentukan Majlis Raja-Raja.

“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pelantikan baharu itu memandangkan ia hanya akan diputuskan Majlis Raja-Raja melalui sistem penggiliran selain mendapat persetujuan kesemua sembilan sultan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung peletakan jawatan Sultan Muhammad sebagai Yang di-Pertuan Agong XV selepas berkhidmat sebagai ketua negara sejak dimasyhurkan pada 13 Disember 2016.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong dibenarkan meletak jawatan mengikut Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan dengan menghantar surat kepada Majlis Raja-Raja.

“Terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan dengan alasan-alasan yang baginda sendiri ketahui.
“Sekiranya peletakan jawatan tersebut diterima oleh Majlis Raja-Raja, maka boleh diisytiharkan takhta Yang di-Pertuan­ Agong itu kosong,”jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya dilantik secara langsung kerana perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.-MY WD