BAGAN DATOH, 24 Dis – Tahlil…..Lebih 500 orang menghadiri majlis tahlil adik Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Ahmad Dzulfikri Hamidi, di kediaman keluarga mereka di Kampung Sungai Nipah Darat, malam tadi.

Majlis bermula selepas solat Isyak dan dihadiri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis; lapan adik Ahmad Zahid; penduduk kampung serta pegawai dan kakitangan pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Bagan Datoh, mengimamkan solat Maghrib di Masjid Al-Falah Sungai Nipah Darat, yang terletak bersebelahan rumah keluarga beliau.

Allahyarham Ahmad Dzulfikri, 45, yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik itu meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Sultan Mizan di ibu negara, malam semalam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nipah Darat. – WD MY