SANTUBONG, 19 Feb – Mandat….. Puan Sri Jamilah Abu menyifatkan mandat besar diperolehnya sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Malah, beliau turut menganggap majoriti 6,443 undi yang diperolehnya sebagai ‘restu’ untuknya meneruskan legasi kepemimpinan Adenan, terutama bagi menyambung aspirasi besar arwah suaminya memajukan Tanjong Datu.

“Ini juga hadiah paling manis sempena ulangtahun perkahwinan kami ke-37, 14 Februari lalu, malah ia juga sebagai pendorong semangat untuk saya dan keluarga terus berbakti kepada penduduk Tanjong Datu.

“Terima Kasih Tanjong Datu…. ‘Semangat Adenan’ terus bersemarak di Tanjong Datu,” katanya pada sidang media di kediamannya di Damai Jaya, malam tadi.

Selain meneruskan perancangan pembangunan Tok Nan yang belum sempat dilaksanakan, Jamilah memiliki agendanya sendiri bagi memajukan kawasan berkenaan, terutama dalam mengatasi kemiskinan melalui usaha pemerkasaan sosio ekonomi rakyatnya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Barisan Nasional  (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) adalah kesinambungan untuk meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata, tiga faktor menjadi penyumbang utama kemenangan Puan Sri Jamilah Anu antaranya kecemerlangan yang ditinggalkan Adenan yang lebih mesra dipanggil Tok Nan.

Selain itu, pembabitan Jamilah dalam kalangan masyarakat Tanjong Datu dan jentera parti yang kuat dan kukuh ketika berkempen.

“Tidak ketinggalan kesungguhan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat di kawasan ini juga membuatkan pengundi begitu yakin dengan BN.

“Isu yang dijaja parti lawan dilihat gagal meraih perhatian pengundi yang terbukti masih berpegang teguh dengan kecemerlangan BN yang terbukti memperjuangkan semua lapisan masyarakat,” katanya. – WD MY