KUALA LUMPUR, OGOS 9:KEMPEN…Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ingin turun membantu kempen pilihan raya kecil (PRK) dinasihatkan memaklumkan hasrat mereka kepada presiden parti terlebih dulu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata ia susulan penerimaan rakyat terhadap pembangkang UMNO dan BN yang jauh berubah berbanding sebelum ini.

“Secara dasarnya saya setuju supaya Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) keluarkan kenyataan siapa yang patut hadir dan tidak (pada kempen pilihan raya).

“Presiden patut beri pandangan dan ini strategi kita nak menang. Kita kena pandai atur strategi, tak boleh ‘boom’ (serang) begitu saja.

“Dulu BN dan UMNO letak siapa pun (calon) boleh menang tapi sekarang silap letak kita kalah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai sejarah dan perlu direhatkan daripada kempen PRK.-MY WD