KLANG, 7 Nov – MAKMAL….. Empat lelaki dan seorang wanita dipercayai menjadikan kawasan sunyi dan belum diduduki sepenuhnya di Bandar Botanic di sini, sebagai makmal memproses dadah jenis syabu dengan menyewa sebuah rumah teres mewah tiga tingkat di situ.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kegiatan jenayah kumpulan itu terbongkar selepas polis menahan suspek melalui tiga serbuan yang seterusnya membawa kepada penemuan makmal memproses dadah itu.

“Dalam serbuan pada Khamis lalu, sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menyerbu tiga lokasi iaitu Pandamaran, Taman Sejati dan Bandar Botanic.

“Empat suspek, termasuk seorang wanita ditahan di Pandamaran, manakala seorang lagi ditahan di Taman Sejati. Penahanan lima suspek berusia 18 hingga 53 tahun itu membawa kepada penemuan makmal memproses dadah di sebuah rumah teres mewah di Bandar Botanic,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan di makmal berkenaan polis merampas 100 gram dadah jenis syabu, 3.85 kilogram minyak meth (syabu) dan peralatan makmal untuk memproses dadah berkenaan dengan nilai rampasan sebanyak RM110,000.

“Kita menjangkakan sebanyak 1.5 kilogram syabu boleh dihasilkan dengan menggunakan minyak meth yang dirampas dan kita percaya dadah yang diproses itu adalah untuk pasaran tempatan.

“Polis juga turut menyita dua kereta jenis Toyota Estima, sebuah Toyota Wish, sebuah Toyota Vios dan empat bentuk cincin warna kekuningan serta wang tunai berjumlah RM1,600. Nilai sitaan harta dianggar bernilai RM450,000,” katanya.

Shamsul Amar berkata, tiga suspek lelaki yang ditahan juga positif dadah methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tiga suspek ditahan reman sehingga 10 November manakala dua lagi ditahan sehingga 8 November,” katanya. – WD MY