SHAH ALAM, DISEMBERD10: MALAIKAT… TImbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani menegaskan ALLAH mencipta malaikat tidak pandai membuat silap.

Menurutnya, ciptaan ALLAH yang sengaja berbuat salah dan silap adalah syaitan.

“Setakat saya belajar ini, tak pernah lah jumpa malaikat buat silap. ALLAH ciptakan malaikat tidak pandai membuat salah dan silap.

“Sepatutnya yang buat sengaja salah silap ini ialah syaitan,” katanya melalui Instagram miliknya, semalam.

Beliau berkongsi keratan akhbar yang melaporkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk ‘Malaikat pun buat silap’.

Namun katanya, sekiranya Tun mahupun penterjemah kenyataan itu tersilap dalam perkara itu, mereka perlu bertaubat.

“Mungkin yang berkata-kata ini yang buat silap atau penterjemah buat silap yang disengajakan. Apabila kita tersilap atau sengaja maka beristighfarlah dan bertaubatlah.

“Ada pun yang tidak memohon ampun terhadap kesilapan itulah kesombongan. Mungkinkah itu sikap kesombongan?,” katanya.

Semalam, Tun Mahathir dilaporkan mempertahankan kritikan terhadap kerajaannya yang dilabel sering membuat psingan U dalam dasar dan manifestonya.

“Oh u-turn, kadang-kadang kita salah jalan, kita pusing balik tapi hanya bila perlu. Kami bukan orang yang sempurna.

“Walaupun sebahagian daripada kami malaikat, tapi malaikat pun buat salah. Jadi apabila malaikat buat silap, mereka patah balik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Bersatu, semalam.-MY WD