KUALA LUMPUR, 2 Ogos – MILIKI…… Penjualan Anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd, Hicom Holdings Bhd bercadang menjual seluruh pegangan sahamnya sebanyak 97.37 peratus dalam Alam Flora Sdn Bhd kepada Tunas Pancar Sdn Bhd dengan nilai kira-kira RM944.6 juta.

Tunas Pancar merupakan anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata hasil yang diraih daripada aktiviti tersebut akan digunakan untuk pembayaran balik Nota Jangka Sederhana Islam dan pinjaman DRB-HICOM dan anak syarikatnya dan pelaburan dalam perniagaan sedia ada dan peluang pelaburan pada masa akan datang yang akan dikenal pasti.

“Cadangan penjualan itu akan membolehkan DRB-Hicom menggunakan sebahagian hasil tersebut kepada anak syarikat 50.1 peratus miliknya, Proton Holdings Bhd, yang sedang melaksanakan program pemulihan, jika perlu.

“Program pemulihan ini disokong oleh pelan perniagaan untuk tempoh 10 tahun yang melibatkan peningkatan kualiti, pengoptimuman kos dan pelancaran model baharu,” katanya.

Katanya jika diperlukan oleh pengeluar kereta nasional itu, hasil tersebut akan digunakan untuk membiayai sebahagian kos pembangunan model baharu yang dijangka ditanggung dalam tempoh 12 bulan akan datang. – WD MY