KUALA LUMPUR, 8 DIS – RAI….. Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) menerusi akhbar BH merangkul hadiah utama Anugerah Media Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Malam Media Kementerian Kerja Raya malam ini.

Artikel tulisan wartawan, Wan Noor Hayati Wan Alias bertajuk Isu Keselamatan Tapak Binaan bagi Kategori Anugerah Media Cetak dan Portal Berita, melayakkan beliau menerima wang tunai RM5,000, piala dan sijil.

Kemenangan itu kali ketiga sepanjang lima tahun CIDB menganjurkan pertandingan seumpama itu dan kali kedua merangkul hadiah utama sejak 2015.

Wan Noor Hayati berkata, pertandingan sedemikian membolehkan pengamal media di negara ini bersaing secara positif untuk memberi bahan berita terbaik.

MENTERI Kerja Raya, Baru Bian (dua kiri) menyerahkan anugerah kepada pemenang pertama Kategori Media Cetak & Portal Berita (Berita & Rencana), Wan Noor Hayati Wan Alias (tengah) sempena Majlis Malam Penghargaan Media KKR & Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian (tengah) bergambar bersama pemenang-pemenang anugerah sempena Majlis Malam Penghargaan Media KKR & Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

“Kita perlu akur industri media kini berdepan persaingan sengit antara media termasuk daripada ‘wartawan segera’ sama ada secara tradisional atau digital.

“Bagaimanapun, saya percaya ia boleh ditangani dengan menyediakan laporan berkualiti, lebih ke hadapan dan memberi kepuasan kepada pembaca, selain memberi impak kepada negara.

“Saya bersyukur mendapat sokongan padu warga BH dan berterima kasih kepada CIDB serta Institut Kewartawanan Malaysia (MPI) kerana memberi peluang dan galakan untuk terus menghasilkan karya bermutu demi industri pembangunan negara,” katanya ditemui selepas menerima anugerah berkenaan malam tadi.

Anugerah disampaikan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid.

Pada majlis berkenaan, sembilan wartawan dirai menerusi dua kategori lain iaitu Anugerah Media Fotografi dan Anugerah Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian.

Pemenang pertama setiap kategori menerima wang tunai RM5,000, manakala tempat kedua dan ketiga memperoleh wang tunai masing-masing RM3,000 dan RM2,000, selain hadiah iringan iaitu sijil penyertaan dan piala.

Anugerah dianjurkan untuk tahun ke lima itu, menerima lebih 200 penyertaan .

Majlis makan malam bertemakan Rock and Roll itu dihadiri lebih 300 wakil media yang turut dimeriahkan dengan Pertandingan Media Got Talent dan cabutan bertuah.

Terdahulu, Baru dalam ucapannya berkata, sumbangan media terhadap sektor pembinaan amat dihargai sebagai pusat maklumat sehenti mengenai perkembangan negara dan global serta medium untuk rakyat menyuarakan pendapat dan maklum balas.

“Karya penyertaan berdasarkan empat teras strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 iaitu kualiti; keselamatan dan profesionalisme; kemampanan alam sekitar; produktiviti serta pengantarabangsaan,” katanya. – WD MY