RIYADH, 14 Okt – KESEJAHTERAAN UMAT ISLAM…. Kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Arab Saudi bersetuju menjalinkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang bagi memastikan kesejahteraan umat Islam sejagat terutamanya di rantau ini terus terpelihara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
kesepakatan itu dicapai selepas beliau menghadap Raja Salman Bin Abdulaziz
Al-Saud di Istana Al Yamama di sini pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, katanya beliau turut menyuarakan keprihatinan kerajaan
dan rakyat Malaysia mengenai pergolakan yang berlaku di Asia Barat terutamanya
di negara-negara Teluk.

zahid-arab2

“Raja Salman mengucapkan terima kasih dan menghargai dukungan Malaysia
selama ini terutamanya sokongan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul
Halim Mu’adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita bersetuju untuk mengambil langkah bersama bagi mengukuhkan hubungan
dua hala yang menjurus kepada kesejahteraan sejagat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau juga mempersembahkan jemputan
Yang di-Pertuan Agong kepada Raja Salman untuk mengadakan lawatan rasmi
ke Malaysia.

“Baginda pernah melawat Malaysia sebelum ini…Insya-Allah, baginda
bersetuju mencari tarikh dan waktu yang sesuai (untuk melawat Malaysia),”
katanya. – WD MY