KUALA LUMPUR, 18 April – Malaysia dan Belanda bersetuju
menjalinkan kerjasama dalam latihan dan pertukaran kepakaran dalam operasi
keamanan, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat tertutup dengan rakan
sejawatanya Jen Tom Middendorp, yang melakukan kunjungan hormat terhadap beliau
pagi tadi.

“(Setiap negara) akan hantar setiap seorang bagi tempoh dua ke tiga bulan,
kita akan lakukan ini secepat mungkin, staf saya akan berurusan dengan staf
Belanda,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Wisma
Pertahanan, di sini.

Zulkifeli berkata, mesyuarat selama sejam itu turut membincangkan mengenai
pencarian dan penyiasatan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang
terhempas.

Middendorp tiba semalam untuk lawatan dua hari di Malaysia.

“Pihak Belanda memainkan peranan besar dalam penyiasatan dan pencarian
pesawat serta penumpang pesawat berkenaan.

“Saya (dalam perbincangan, menyatakan perasaan) berpuas hati dengan Belanda
dan mereka juga amat menghargai sumbangan negara kita dalam usaha penyiasatan
itu,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200 yang dipercayai ditembak jatuh dan terhempas di timur
Ukraine pada 17 Julai tahun lepas semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke
Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Selain rakyat Malaysia, penumpang MH17 turut terdiri daripada warga
Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina,
Kanada dan New Zealand.

Selain itu, Zulkifeli berkata, kedua-dua negara juga berkongsi pandangan
mengenai pendekatan untuk mengukuhkan hubungan sedia ada.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY