BANGKOK,MEI 21:MALAYSIA… Malaysia memulakan kempen Piala Thomas 2018 dengan langkah kanan selepas membenam Russia 5-0 dalam aksi sulung Kumpulan D di IMPACT Arena, Bangkok Thailand sebentar tadi.

Mata pertama Malaysia disumbangkan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mengalahkan Vladimir Malkov 21-9, 21-19, manakala beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak berdepan masalah mengalahkan Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 21-18, 21-19.

Perseorangan kedua, Lee Zii Jia mengesahkan kemenangan skuad negara selepas meraih mata ketiga apabila menumpaskan Serger Sirant 21-13, 21-16.

Percaturan untuk menggandingkan Aaron Chia bersama Teo Ee Yi juga membuahkan hasil selepas mereka mudah membenam cabaran Evgenij Dremin 21-16, 21-9, manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin melengkapkan kemenangan dengan menewaskan Rodion Alimov 21-9, 21-12.

Skuad negara akan berdepan pasukan dari benua Afrika, Algeria esok dan kemenangan akan memastikan tempat ke suku akhir.-MY WD