KOTA KINABALU, 17 Mei – Malaysia mahu berbincang dengan Myanmar
bagi mencari penyelesaian terbaik menangani isu pelarian etnik Rohingya, kata
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah juga berkata, Malaysia turut menggunakan pendekatan diplomatik dengan
Thailand dan Indonesia untuk bersama-sama duduk berbincang menentukan cadangan
serta kaedah yang dilihat komprehensif bagi menyelesaikan krisis itu.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan berbincang secara mendalam masalah
ini dan berharap Myanmar duduk bersama mencari penyelesaian sebelum ia dibawa ke
peringkat antarabangsa.

“Jika perlu, kami akan memanggil mesyuarat kecemasan (ASEAN),” katanya
selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Bangladesh Abul Hassan Mahmood
Ali sempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Keempat antara Malaysia dan Bangladesh
di sini hari ini.

Anifah berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya
dari Indonesia di sini, esok.

Anifah berkata Malaysia peka mengenai masalah etnik Rohingya, namun, ia
tidak seharusnya ditanggung oleh Malaysia sahaja.

“Sekarang kita hendak mencari penyelesaian kepada masalah ini…Langkah
yang kita ambil buat masa ini termasuk memberi bantuan daripada badan bukan
kerajaan seterusnya mencari langkah bagaimana membantu mereka,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Anifah, Malaysia sudah tidak lagi mampu menanggung
mereka memandangkan sejumlah besar etnik tersebut sudah berada di negara ini dan
tiada negara lain yang mahu menerima mereka.

Mengenai pertemuan dengan Abul Hassan, kedua-dua negara bersetuju memperluas
Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dan Pengambilan Tenaga Kerja dari
Bangladesh 2012 serta Protokol Meminda MoU.

Ini merupakan langkah terbaik menguruskan proses pengambilan pekerja kerana
ia mampu mengurangkan kos selain mengelak pemerdagangan manusia. MoU berkenaan
terhad kepada sektor perladangan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY