PORT DICKSON, 24 Sept – LANDASAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi negara maju, namun pembangkang enggan mengiktirafnya semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.

Ahmad Zahid berkata, banyak kejayaan dicapai Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.2 peratus bagi tahun ini juga satu pencapaian yang amat baik.

“Berapa ramai yang akuinya? Sama ada mereka tidak faham atau pura-pura tidak faham atau memang sengaja tidak mahu faham.

“Sebab kalau kejayaan kerajaan diiktiraf, tiadalah sifat atau pemikiran pembangkang pada diri mereka,” katanya berucap merasmikan program Ekspresi Negaraku di Dataran Kemang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu mengenepikan perbezaan politik dan mengiktiraf perkara baik yang dilakukan kerajaan demi masa depan Malaysia yang gemilang.

Beliau mengakui, pemimpin negara juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan seperti juga orang lain kerana mereka bukan maksum dan tidak sempurna.

“Bagaimanapun, kita sentiasa berazam untuk memperbaiki dan menambah baik segala kelemahan kita. Namun, kalau kelemahan itu dipergunakan oleh pihak yang tak suka dengan kita (pembangkang), kita perlu berlapang dada.

“”Tapi (pembangkang) jangan lupa, apabila mereka menuding satu jari kepada kita, empat lagi jari menuding ke arah diri sendiri. Pembangkang perlu terima hakikat, mereka sendiri dalam keadaan berpecah-belah,” katanya.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. – WD MY