Malaysia Dikitiraf Di Peringkat Antarabangsa Kata Perdana Menteri

0
59

PEKAN, 3 Jun – Diiktiraf….. Kejayaan Kerajaan memperolehi Pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang kini semakin tinggi membolehkan rakyat menikmati pelbagai keistimewaan berkaitan agama dan ekonomi kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata antara keistimewaan dinikmati ialah menjadi antara lima daripada 51 negara diberi peluang berucap pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat baru-baru ini, penambahan kuota haji dan mewujudkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Malaysia yang diperoleh menerusi hubungan baik dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang turut melawat negara ini pada Februari lalu.

Penghormatan tinggi juga membolehkan Malaysia menerima pelaburan daripada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) di Pengerang, Johor bernilai RM31bilion.

“Maksudnya kita untung dari segi ekonomi dan Islam, mudah-mudahan usaha kita mewujudkan Kompleks Tabung Haji di Makkah dan Madinah dapat direalisasikan yang membolehkan kita mengawal kenaikan kos mengerjakan ibadat haji supaya ia di paras lebih rendah.

“Ekonomi kita juga baik di mana untuk suku pertama tahun ini kita mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus manakala nilai mata wang kita juga mencatatkan prestasi terbaik di ASEAN.

“Kejayaan ini kita pulangkan kepada rakyat antaranya pembayaran khas RM500 kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara sempena Aidilfitri dan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) pusingan kedua pada 5 Jun depan,” katanya berucap merasmikan penutupan Ijtima’ Kepimpinan Organisasi Dalam Konteks Islam di Dewan Amphitheater Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini, hari ini. – WD MY