KUALA LUMPUR, 29 Nov – Malaysia dipilih semula sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi penggal 2016-2017 di Perhimpunan Agung IMO ke-29 yang berlangsung di Ibu Pejabat IMO di London.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ia adalah penggal ke-enam berturut-turut bagi Malaysia selaku Ahli Majlis IMO. “Kami amat berbesar hati dengan pemilihan semula oleh Negara-negara Anggota IMO kerana ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepentingan peranan Malaysia dalam perkapalan antarabangsa dan khususnya dalam IMO,”katanya.

Selain memegang peranan sebagai Anggota Negara IMO sejak 1971, Malaysia juga telah diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai Ahli Majlis IMO selama lima penggal berturut-turut. Sebagai sebuah negara maritim dengan kepentingan besar dalam pengangkutan marin, Malaysia komited kepada penyertaan aktif dalam IMO.

Selat Melaka adalah laluan perairan yang penting bagi perkapalan antarabangsa dan juga merupakan salah satu laluan paling aktif di dunia dengan lebih 25% daripada perdagangan global melalui perairan tersebut, selain lebih 80,000 buah kapal menjadikannya sebagai laluan transit setiap tahun.

Liow berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan Selat Melaka serta memastikan alam persekitaran marin di perairan tersebut sentiasa terjaga.

Malaysia turut tersenarai dalam kedudukan 30 negara teratas dari segi armada perkapalan antarabangsa dengan muatan 7.16 juta tan dan lebih 50,000 tenaga pelaut.

Malaysia mempunyai beberapa pelabuhan utama yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, mengendalikan sejumlah lebih 500 juta tan kargo. Malah, dua daripada pelabuhan Malaysia tersenarai secara konsisten antara 20 pelabuhan paling aktif di dunia.

Sejak penubuhannya pada tahun 1948, IMO telah menjadi pendukung piawaian bagi aspek keselamatan, sekuriti dan perlindungan alam sekitar bagi perkapalan antarabangsa.

IMO juga bertanggungjawab mewujudkan rangka kerja kawal selia bagi perkapalan antarabangsa, dengan matlamat untuk memastikan perkhidmatan perkapalan yang selamat, terkawal dan cekap di perairan yang bersih.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY