BANGKOK, 10 Okt – Tolak campur tangan kuasa luar…..Negara Asia perlu menolak campur tangan kuasa luar.

Mesej itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia, ACD ke-2.

Menurut Perdana Menteri, negara Asia juga perlu mempromosikan pembangunan dan kemakmuran bersama.

“Kita perlu bertindak untuk mempromosikan pembangunan dan kemakmuran bersama di Asia, menolak campur tangan daripada kuasa luar. Era empayar lama telah lama berakhir. Rakyat Asia perlu menekankan amalan budaya sendiri, menguatkuasakan undang-undang sendiri dan kedaulatan negara perlu dihormati, ” kata Najib ketika berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ACD ke-2.

Menurutnya, jika abad ini adalah milik Asia, semua negara dari benua itu perlu menentukan nasib sendiri.

Sejak diasaskan pada tahun 2002, ACD telah menyumbang ke arah menentukan masa depan Asia.

Bagaimanapun, ACD katanya, perlu memberi fokus kepada program khusus yang mampu memberikan hasil serta mengukuhkan negara anggota.

Malaysia, ujar Perdana Menteri berjaya mewujudkan 1.8 juta pekerjaan baharu serta menggandakan pendapatan kasar negara melalui program transformasi yang dilaksanakan.

Malaysia turut menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak ASEAN pada tahun lalu, yang menyaksikan penubuhan komuniti ASEAN.

Sehubungan itu, Malaysia mengalu-alukan visi ACD untuk kerjasama Asia 2030 bagi aspirasi penubuhan komuniti Asia.

Sebagai penggerak utama bidang pendidikan dan sumber manusia, Malaysia terus menyatakan komitmen untuk memajukan Asia e-University yang menjadi platform pendidikan dalam kalangan negara anggota ACD.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, Asia e-University yang terletak di Kuala Lumpur sudah menerima 2,350 pelajar dari 60 negara serta menjalin rakan kongsi dengan 25 negara.

Bertemakan “Satu Asia, Pelbagai Kekuatan”, Sidang Kemuncak ACD Ke-2 dihadiri pemimpin dari 34 negara.

Sidang Kemuncak ACD pertama diadakan di Kuwait pada tahun 2012. – WD MY

LEAVE A REPLY