PUTRAJAYA 29 Nov. – PENDEKATAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia perlu menggunakan pendekatan sendiri dan tidak boleh menggunakan acuan negara lain dalam dasar memerangi dadah.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memerangi dadah adalah tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.

“Kita ada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan pencegahan dan penguatkuasaan serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk pemulihan dan pendidikan.

“Kedua-dua agensi ini menjalankan peranannnya serta dibantu juga oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Acuan yang dipraktik negara lain seperti Filipina tidak sesuai digunakan di Malaysia dalam menangani masalah berkenaan.

“Kita tidak boleh guna acuan negara lain untuk direla paksakan penggunaannya di negara ini.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mana acuan Filipina tidak sesuai untuk negara ini,” kata beliau.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia mempunyai cara tersendiri memerangi isu dadah termasuk melalui penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan pencegahan dan penguatkuasaan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk pemulihan dan pendidikan.

“Kedua-dua agensi ini menjalankan peranannya dan dibantu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan,” katanya.

Nur Jazlan ketika di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan tidak bercadang membenarkan pegawai penguatkuasa undang-undang menembak pengedar dadah seperti yang berlaku di Filipina, dalam usaha menangani masalah narkotik dan penagihan dadah di negara ini.

Beliau berkata, sebarang pindaan undang-undang bagi membenarkan tindakan itu diambil di negara ini adalah bertentangan dengan norma perundangan dan polisi antarabangsa. – WD MY