BAGAN DATUK, 17 Feb – HENTI….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Indonesia tidak memberhentikan penghantaran pembantu rumah berikutan kes penderaan sehingga membawa maut yang berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini kerana ia merupakan kes terpencil.

Ahmad Zahid berkata tindakan drastik negara jiran itu hanya akan merugikan kedua-dua buah negara.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan bertemu Menteri Tenaga Kerja Indonesia Muhammad Hanif Dhakiri untuk berunding semula dan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah yang berlaku dalam tempoh terdekat.

“Kita (Malaysia) melahirkan rasa terkilan jika benar pihak Indonesia, mengikut laporan media, akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara kita disebabkan kes terpencil yang berlaku berhubung penderaan terhadap pembantu rumah.

“Malah kita tahu bahawa kita mempunyai SOP (Prosedur Operasi Standard) yang tertentu yang harus dipatuhi para majikan dan kerajaan Malaysia tidak akan pernah melindungi mana-mana majikan yang melakukan penderaan atau kezaliman,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas mengadakan tinjauan mesra di Dataran Bagan Datuk dan turut meninjau beberapa projek infrastruktur di sekitarnya.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata atas dasar kemanusiaan, Malaysia tidak akan melindungi atau menyembunyi sebarang fakta yang berlaku dalam kejadian tersebut.

“Pendakwaan akan dilakukan dan pengadilan akan dibuat di Malaysia. Indonesia perlu yakin negara ini merupakan sebuah negara yang berbeza dengan negara-negara lain (berhubung kes penderaan dan kematian pembantu rumah),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan dari segi kadar peratusan penderaan pembantu rumah di negara ini, ia adalah yang terendah berbanding negara-negara lain.

“…ertinya kita mengambil kepedulian terhadap kebajikan pembantu rumah dari Indonesia di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia akan terus memantau jika terdapat aduan berkaitan penderaan pembantu rumah dI negara ini.

“Kita akan melihat semula perjanjian di antara majikan dan pekerja berkenaan, mana-mana peraturan yang masih mempunyai kelonggaran maka kita akan adakan kajian semula termasuk SOP keselamatan,” katanya.

– WD MY