KUALA LUMPUR, 25 Feb – Negara-negara ASEAN dan Jepun terus
menikmati hubungan yang erat, dengan kedua-dua pihak berkongsi prinsip dan
pandangan yang sama dalam memastikan keamanan, kestabian dan kemakmuran rantau
ini.

“Hubungan ASEAN-Jepun semakin akrab dan memikul kepentingan strategik yang
semakin meningkat,” kata Ketua Pengarah Biro Kerjasama Antarabangsa Kementerian
Luar Jepun (MOFA) Kimihiro Ishikane.

Beliau berkata sejak bertahun-tahun, pelbagai bentuk kerjasama untuk
mengukuhkan perkongsian dan meningkatkan lagi hubungan antara Jepun dan ASEAN
telah diwujudkan.

“Integrasi ASEAN tidak akan berakhir tahun ini tetapi akan terus melangkaui
2015.

“Kerajaan Jepun akan terus menyokong usaha menjadikan integrasi ASEAN
satu kenyataan, dengan mengambil kira hubungan ekonomi yang rapat dan Jepun
menjadi rakan kongsi strategik kepada ASEAN.”

ASEAN merupakan rakan dagang kedua terbesar Jepun selepas China dan
destinasi pelaburan ketiganya. Syarikat-syarikat Jepun telah menubuhkan lebih
daripada 8,100 pangkalan operasi di rantau ini.

“Ia merupakan destinasi paling menjadi pilihan bagi pelaburan Jepun,”
katanya, sambil menambah bahawa selama ini Thailand, Malaysia dan Singapura
menjadi penerimanya tetapi kini minat semakin meningkat di Kemboja dan
Laos.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN meningkat lebih tiga kali ganda
daripada US$600 bilion pada 2000 kepada US$2.3 trilion pada 2012.

Bekas Duta ke ASEAN itu juga menjelaskan bahawa kestabilan di rantau ini
juga amat penting kepada Jepun.

“Kami (Jepun) mengimport lebih 85 peratus petrol dan kira-kira 50 peratus
daripada jumlah kargo yang didagangkan di seluruh dunia melalui rantau ini juga,
jadi ia mencerminkan kestabilan rantau ini secara keseluruhannya,” kata
Ishikane.

Semasa ditanya pandangan beliau mengenai Malaysia, beliau berkata:
“Terdapat banyak peluang pelaburan di negara itu (Malaysia) dan Jepun akan terus
dan sentiasa berharap untuk meningkatkan pelaburannya dalam masa terdekat.

“Malaysia adalah pasaran yang sangat kompetitif dan saya berpendapat ia
adalah pasaran di mana semua orang harus bersaing, termasuk kami”.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Dasar Serantau Hal Ehwal Asia dan
Oceania MOFA Hiroaki Ichiba, yang berkongsi pandangan yang sama dengan Ishikane,
berkata Jepun adalah antara penyokong dan rakan dialog paling lama dan
terpenting bagi ASEAN.

ASEAN menawarkan pasaran yang menarik bagi firma-firma Jepun menyediakan
barangan dan perkhidmatan serta pangkalan pengeluaran utama bagi syarikat
multinasional Jepun yang telah membangunkan rangkaian pengeluaran dan rantaian
bekalan yang meluas di seluruh Asia.

Jepun akan menyokong sepenuhnya usaha merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN
(AEC) menjelang akhir tahun.

“Itulah sebabnya Jepun membantu ASEAN dalam pembangunan ekonomi,”
katanya, sambil menambah bahawa AEC penting kerana ia bertujuan untuk mencapai
integrasi ekonomi dan daya saing antarabangsa yang lebih luas.- Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY