KUALA LUMPUR, 7 Julai – KERJASAMA….. Malaysia dan Jepun hari ini membincangkan kerjasama dalam mengembalikan keyakinan pelancong sekali gus merancakkan semula industri pelancongan, seni dan budaya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu disentuh ketika beliau menerima kunjungan hormat Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka, di sini.

Beliau berkata adalah penting untuk kedua-dua negara berganding bahu demi mengembalikan semula kecemerlangan sektor pelancongan negara.

“Kerjasama harus juga meliputi usaha mengembalikan keyakinan rakyat kedua-dua negara untuk melancong semula ke Malaysia dan Jepun apabila larangan melancong ke negara luar tidak lagi berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai seni dan budaya beliau berkata MOTAC berpeluang bekerjasama dengan Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) dan Kedutaan Jepun dalam beberapa program di bawah agensi kementerian itu seperti Istana Budaya, Jabatan Muzium, Balai Seni Lukis dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Beliau dalam pada itu berharap lebih banyak lagi kerjasama dapat dijalankan pada masa depan antara kedua-dua negara.

Nancy berkata dalam kunjungan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat, Oka turut memuji Malaysia sebagai antara negara yang diiktiraf dunia atas kejayaan mengawal penularan COVID-19 sekali gus memberi imej negara yang selamat. – WD MY (BERNAMA)