KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kekal Tahap 2………. Semalam, Pihak Amerika Syarikat dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang, menunjukkan Malaysia kekal di kedudukan Tahap 2 Pemerhatian pada tahun ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, penilaian membabitkan 188 negara di seluruh dunia yang dikeluarkan JNAS semalam itu, antara lain merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan kes pemerdagangan orang.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa, JNAS mengiktiraf pelbagai usaha direncana Malaysia dalam memperkasakan perundangan sedia ada menerusi pindaan yang berkuat kuasa sejak 18 November tahun lalu.

“Selain itu, JNAS mengambil maklum proses rundingan antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya dalam merangka peraturan berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pindaan perundangan yang digubal.

“Ia merangkumi aspek kebenaran kepada mangsa pemerdagangan orang bergerak bebas atau tinggal di luar, berbanding menginap di rumah perlindungan kerajaan dan peluang untuk mereka bekerja di negara ini.

“Laporan tahunan JNAS ini turut mengambil maklum inisiatif Malaysia untuk memberi peluang pekerjaan kepada mangsa pemerdagangan orang dalam bidang perhotelan, termasuk membiayai kos pemeriksaan kesihatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, langkah sedemikian adalah cabaran kepada negara kerana berlaku kes segelintir mangsa menghilangkan diri walaupun diberi pekerjaan bersesuaian.

Sehubungan itu, katanya, JNAS mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk melonjakkan kedudukan Malaysia pada laporan tahun depan menerusi pelaksanaan sepenuhnya peraturan menyokong pindaan perundangan sedia ada.

“Pindaan ini merangkumi kebebasan untuk mangsa pemerdagangan orang bergerak bebas dan bekerja di Malaysia yang berkuat kuasa sejak 4 Mei lalu.

“Pelaksanaan peraturan ini masih baharu, justeru kesannya terhadap aspek penjagaan kebajikan mangsa pemerdagangan orang belum dirasai sepenuhnya.

“Cadangan lain merangkumi penyiasatan kes pemerdagangan buruh secara lebih terperinci, terutama membabitkan kumpulan yang terjejas seperti pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata, JNAS menggesa pekerja asing, termasuk pembantu rumah dimaklumkan mengenai hak mereka untuk menyimpan dokumen perjalanan, selain ia dinyatakan secara jelas dalam memorandum persefahaman (MoU), yang ditandatangani Malaysia dengan negara sumber. – WD MY

LEAVE A REPLY