BAGAN DATOH, 20 Jun – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
Malaysia akan mengemukakan permohonan bagi lapan suspek perampas kapal tangki MT Orkim Harmony
diekstradisi ke negara ini untuk menghadapi pendakwaan,

Menurut beliau, permohonan esktradisi itu akan dikemukakan kepada dua negara
iaitu Vietnam dan Indonesia agar siasatan serta pendakwaan dapat dijalankan
selewat-lewatnya Selasa ini.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan siasatan lebih lanjut setelah
siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam,: kata Zahid

“Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam, Kemboja serta Thailand
yang turut memberikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui media menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Al-Khairiah,
Selekoh di sini malam tadi.

Tambah Ahmad Zahid, tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang dalam
berhubung kejadian itu, bagaimanapun siasatan terperinci perlu dilakukan berhubung perkara itu.

“Ada baiknya kita tunggu siasatan daripada pihak berkuasa Vietnam dan PDRM
yang akan melakukan siasatan terperinci serta pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya)
untuk melakukan pendakwaan,” katanya.

Pihak berkuasa Vietnam semalam menahan lapan suspek itu yang merupakan warga Indonesia
berhampiran Pulau Tho Chu, selatan negara itu kira-kira 6.30 pagi. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY