KUALA LUMPUR, 14 Dis – Kongsi Pengalaman……. Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia berkongsi pengalaman dengan delegasi India mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan negara itu tahun depan.

Perdana Menteri berkata, perkongsian pengalaman itu berlangsung ketika kunjungan delegasi peringkat tertinggi kerajaan India ke Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kekangan termasuk dari segi geografi, kedua-dua negara bersedia berkongsi keazaman bersama dalam menyediakan cukai yang lebih telus untuk rakyat sebagaimana perlindungan terhadap hak harta intelek.

Katanya, menerusi perkongsian pandangan dan kepakaran itu, kedua-dua negara berupaya mendapat manfaat dalam bidang berkenaan.

“Interaksi itu dengan jelas memberi manfaat kepada kedua-dua negara, sekali gus memenuhi semangat persidangan tertutup ini Ke Arah Asia Tanpa Sempadan,” katanya pada Persidangan Peneraju Perniagaan Asia The Economic Times selama dua hari berakhir esok.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam satu sesi sidang video dengan rakan sejawatannya dari India, Shri Narendra Modi Persidangan tertutup itu menjadi platform terbesar menghimpunkan barisan peneraju perniagaan Asia untuk membincangkan peranan rantau ini sebagai hab niaga global.

The Economic Times yang berpejabat di Mumbai adalah akhbar perniagaan terkemuka India dengan edarannya di 12 bandar negara itu.

Terdahulu Modi pada sidang video khas itu berkata, selepas perkongsian pengalaman dalam pelaksanaan GST, pindaan Perlembagaan negara itu berhubung sistem percukaian itu berjaya diluluskan dan dijangka dilaksanakan tahun depan. – WD MY