RIYADH, 13 Okt – Kongsi Pengalaman Deradikalisasi…… Malaysia sedia berkongsi pengalaman dan
mencontohi Arab Saudi berkaitan pelaksanaan program deradikalisasi dalam usaha
memerangi keganasan serta proses pemulihan terhadap golongan ekstremis, kata
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalan perdana menteri berkata perkara itu akan dibincangkan dengan lebih
terperinci dengan pihak berkaitan di negara itu, bersempena lawatan rasminya ke
negara berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia boleh
memanfaatkan pengalaman Arab Saudi dalam melaksanakan program deradikalisasi
berikutan kedudukan negara itu berhampiran dengan negara-negara yang sering
dikaitkan dengan keganasan dan militan.

“Saya akan belajar dan berkongsi pengalaman dalam soal program
deradikalisasi terhadap masalah keganasan dalam kalangan negara-negara sumber
dan negara-negara di Asia Barat (yang sering dikaitkan dengan keganasan dan
militan).

“Pengalaman Malaysia boleh dikongsi, dan kita juga mungkin mendapatkan
pengalaman (daripada Arab Saudi) bagaimana soal pemulihan dapat dilakukan dalam
program deradikalisasi.

“Insya-Allah saya akan berbincang dengan lebih mendalam dengan pihak
berwajib di negara ini,” katanya kepada wartawan Malaysia sebaik tiba di sini,
Rabu malam, bagi lawatan rasmi lima hari di Arab Saudi.

Timbalan perdana menteri dijadual melawat Pusat Kaunseling dan Penjagaan
Mohammad Bin Naif di sini, Khamis.

Ahmad Zahid dijangka diberi taklimat berhubung inisiatif Arab Saudi dalam
memerangi keganasan dan program deradikalisasi bagi golongan ekstremis semasa
melawat pusat berkenaan. – WD MY

LEAVE A REPLY