KUALA LUMPUR, 29 Sept – Malaysia akan berkongsi pengalaman serta
kisah kejayaan dengan negara-negara ASEAN berhubung program pemulihan yang telah
dijalankan terhadap individu terlibat dalam kegiatan ekstremisme.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim program
itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Khas ASEAN mengenai Kebangkitan
Radikalisme dan Keganasan Melampau Jumaat ini.

“Kita akan kongsi pengalaman berkaitan program pemulihan di mana kita telah
kemas kini dengan mengambil kira perkembangan semasa..kita sesuaikan supaya ia
relevan dengan bentuk keganasan masa kini,” katanya.

Beliau bercakap kepada media di Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai
Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kali ke-10 di sini hari ini.

Alwi berkata program pemulihan yang digunakan di negara ini dikira mencapai
tahap yang memuaskan ekoran hanya tujuh peratus sahaja daripada golongan yang
telah dipulihkan ini kembali terjebak dalam kegiatan ekstremisme.

Beliau berkata antara faktor utama kejayaan pemulihan adalah kerana kaedah
pendekatan kerohanian menggunakan agama yang diamalkan sejak sekian lama.

“Kita dapat memulihkan kebanyakan mereka daripada kembali melakukan kegiatan
(ekstremisme) kerana kita lebih menggunakan kaedah pengisian rohani contohnya
kalau (orang) Islam kita panggil imam dan guru agama, kalau agama lain kita akan
panggil mereka yang berkemahiran.

“Kita bukan sahaja laksanakan hukuman tetapi lebih memberi tumpuan kepada
proses pemulihan kepada mereka ini,” katanya, dan menambah bahawa kadar kejayaan
yang dicapai lebih tinggi daripada sesetengah negara maju.

Alwi berkata Malaysia juga dijangka akan berkongsi pengalamannya mengenai
Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY